Semua bekas Murid dan Guru di SK Kampung Tayor dialu-alukan untuk mendaftar di Sistem Alumni SK Kampung Tayor

| Pendaftaran Alumni |

Thursday 21 July 2011

Mesyuarat Agung PIBG Tahun 2011

Sekitar Mesyuarat Agung PIBG bagi tahun 2011

24 Mac 2011 - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kampung Tayor telah mengadakan Mesyuarat Agung PIBG bagi tahun 2011 bertempat di Dewan Terbuka SK Kampung Tayor. Majlis tersebut telah dimulakan dengan bacaan doa diikuti dengan persembahan murid-murid SK Kampung Tayor. Aturcara majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua PIBG diikuti dengan  ucapan Guru Besar SK Kampung Tayor, Tuan Haji Mat Yaman bin Mohamad yang menyentuh serba-sedikit tentang program-program yang dilaksanakan oleh pihak sekolah, pengukuran pencapaian murid di SK Kampung Tayor dan kepentingan ibu bapa untuk memastikan agar anak masing-masing menghadiri program-program  yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Kampung Tayor bagi tahun 2011 pula telah disempurnakan oleh Penyelia Pendidikan Islam PPD Setiu, Tuan Haji Mohd Nizan Bin Abd Majid mewakili Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Setiu yang tidak dapat hadir. Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ibu bapa yang hadir walaupun terpaksa mengorbankan hari cuti, dan ini menunjukkan bahawa pihak ibu bapa sentiasa prihatin dengan perkembangan sekolah dan anak-anak mereka yang belajar di SK Kampung Tayor.

Majlis kemudiannya berpindah kepada agenda utama iaitu sesi Mesyuarat Agung yang dimulakan dengan pembentangan minit mesyuarat yang lalu oleh Setiausaha PIBG. Seterusnya, rekod kewangan PIBG sepanjang sesi yang lalu dibentangkan oleh Bendahari PIBG diikuti dengan pembahasan usul-usul yang dibangkitkan oleh ahli-ahli jawatankuasa PIBG dan para ibu bapa. Selesai pembahasan usul, lantikan jawatankuasa baru PIBG bagi tahun 2011 telah dibuat dan proses perlantikan ini telah dikendalikan oleh Yang Dipertua PIBG. Mesyuarat Agung PIBG Sekolah Kebangsaan Kampung Tayor diakhiri dengan sedikit jamuan bagi meraikan semua tetamu yang hadir. Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Kampung Tayor mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir, dan mengharapkan komitmen yang terbaik daripada semua pihak bagi menjayakan agenda PIBG dan sekolah untuk tahun 2011.



 
Design by Wordpress Theme | Bloggerized by Free Blogger Templates | JCPenney Coupons