 |
| Sekitar Mesyuarat Agung PIBG bagi tahun 2011 |
24 Mac 2011 - Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Kampung Tayor telah mengadakan Mesyuarat Agung PIBG bagi tahun 2011 bertempat di Dewan Terbuka SK Kampung Tayor. Majlis tersebut telah dimulakan dengan bacaan doa diikuti dengan persembahan murid-murid SK Kampung Tayor. Aturcara majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Dipertua PIBG diikuti dengan ucapan Guru Besar SK Kampung Tayor, Tuan Haji Mat Yaman bin Mohamad yang menyentuh serba-sedikit tentang program-program yang dilaksanakan oleh pihak sekolah, pengukuran pencapaian murid di SK Kampung Tayor dan kepentingan ibu bapa untuk memastikan agar anak masing-masing menghadiri program-program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. Perasmian Mesyuarat Agung PIBG SK Kampung Tayor bagi tahun 2011 pula telah disempurnakan oleh Penyelia Pendidikan Islam PPD Setiu, Tuan Haji Mohd Nizan Bin Abd Majid mewakili Tuan Pegawai Pelajaran Daerah Setiu yang tidak dapat hadir. Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ibu bapa yang hadir walaupun terpaksa mengorbankan hari cuti, dan ini menunjukkan bahawa pihak ibu bapa sentiasa prihatin dengan perkembangan sekolah dan anak-anak mereka yang belajar di SK Kampung Tayor.